Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai 2026 kembali meriahkan Kota Samarahan

KUCHING: Karnival Jom Heboh (KJH) Sarawak Segulai Sejalai 2026 kembali berlangsung di pekarangan sebelah Majlis Perbandaran Kota Samarahan mulai 31 Julai hingga 2 Ogos depan dengan pelbagai aktiviti hiburan, riadah dan kekeluargaan.

Karnival yang memasuki edisi ke-23 itu diiktiraf sebagai Longest Running Outdoor Carnival oleh The Malaysia Book of Records, sekali gus terus menjadi antara acara komuniti terbesar di negara ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerjasama MTCP dan Media Prima mencerminkan komitmen untuk memperkukuhkan pelancongan serta industri kreatif negeri.

“Kerjasama yang terjalin sejak sekian lama ini membuktikan komitmen bersama dalam membangunkan industri pelancongan, memperkukuhkan ekosistem ekonomi kreatif serta menyediakan platform bagi menyatukan masyarakat melalui program yang inklusif dan memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai 2026, di sini, hari ini.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang karnival termasuk pertandingan, program kesihatan, sesi bersama personaliti Media Prima dan Konsert Jom Heboh pada malam Sabtu serta Ahad.

Konsert itu menampilkan barisan artis popular seperti Haiza Hanafi, Mariam Saim, Aepul Roza, Baby Shima, Wany Hasrita, Syamel dan Marsha Milan.

Selain itu, Jom Heboh Fun Run turut kembali dengan kategori 5 kilometer dan 8 kilometer, selain menawarkan medal penamat, jersi rasmi, hadiah cabutan bertuah serta pakej penyertaan khas untuk keluarga.

Abdul Karim turut mengajak orang ramai hadir memeriahkan karnival sambil menyokong usahawan tempatan dan industri kreatif.

Penganjuran Karnival Jom Heboh Sarawak Segulai Sejalai 2026 dijangka terus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat menerusi gabungan hiburan, gaya hidup sihat serta pelibatan komuniti.