KUCHING: Sarawak wajib dipertahankan sebagai sebuah negeri yang aman, stabil dan makmur, serta bebas daripada sebarang pengaruh fahaman radikal yang boleh merosakkan keharmonian warisan generasi terdahulu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, keharmonian unik yang dinikmati hari ini tidak akan dapat dipertahankan tanpa benteng ilmu, kebijaksanaan serta sikap saling menghormati antara satu sama lain.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Kelestarian Pemikiran Islam Nusantara Sarawak Maju Makmur Tahun 2026M/1448H di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha.
Menurut Fadillah, pendekatan Pemikiran Islam Nusantara amat signifikan dalam mendepani realiti dunia hari ini kerana ia membawa mesej perkembangan Islam yang penuh hikmah, berhemah dan menghormati budaya setempat.
”Sejarah membuktikan Islam berkembang di Alam Melayu dan Borneo bukan melalui kekerasan, sebaliknya melalui kejujuran pedagang, kebijaksanaan ulama, kesantunan pendakwah dan kemuliaan akhlak mereka,” katanya.
Fadillah turut menyifatkan Sarawak sebagai contoh terbaik menyaksikan masyarakat berbilang kaum dan agama mampu hidup bersatu padu, menghormati serta bekerjasama demi kemajuan negeri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa amalan toleransi yang tinggi dalam kalangan masyarakat Sarawak bukanlah bererti menggadaikan prinsip atau mengkompromikan asas akidah Islam.
Mengulas cabaran semasa, beliau memberi amaran mengenai ancaman penyebaran fahaman radikal dan ekstremisme yang kini semakin licik menyusup masuk melalui media sosial serta platform digital.
Katanya, golongan ekstremis ini sering memperalatkan agama untuk menyemai kebencian, memecah-belahkan masyarakat serta menolak pendekatan kesederhanaan.
Bagi membendung ancaman itu, Fadillah menekankan kepentingan ilmu tasawuf yang muktabar berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah dalam membentuk akhlak serta menyucikan jiwa (tazkiyah al-nafs).
Jelas beliau, tasawuf yang benar bukanlah ajaran yang terpisah daripada syariat, tetapi ia melahirkan keikhlasan, sifat tawaduk, kasih sayang dan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar ilmu tasawuf yang muktabar diberikan tempat sewajarnya dalam sistem pendidikan arus perdana negara, termasuk di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
”Pendidikan yang kita bangunkan tidak boleh hanya berorientasikan kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya mesti melahirkan generasi yang memiliki jiwa tenang, beradab tinggi dan amanah,” ujarnya.
Beliau turut mengajak masyarakat meneladani ulama besar Nusantara terdahulu yang sentiasa mendahulukan adab sebelum ilmu, serta mengutamakan hikmah sebelum menjatuhkan sesuatu penghukuman.
Katanya lagi, penganjuran seminar seumpama itu amat penting sebagai wadah memperkasa masyarakat dengan ilmu, sekali gus mematangkan cara berfikir berasaskan neraca syariat dan fakta.
Beliau berharap segala resolusi seminar dapat diterjemahkan kepada tindakan berterusan demi melahirkan generasi sederhana yang sentiasa mengutamakan perpaduan demi kelestarian Sarawak Maju Makmur.
