KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) terus memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula di Sarawak menerusi TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp 2026.
Ia memberi tumpuan kepada inovasi digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Dayang Noraazah Awang Sohor yang juga ADUN N.28 Lingga berkata program edisi kelapan itu menjadi platform melahirkan lebih ramai usahawan teknologi berdaya saing.
“Hari ini merupakan satu detik penting dalam pembangunan ekosistem syarikat pemula di Sarawak. Kita berkumpul bagi meraikan berakhirnya program intensif selama enam hari yang dipenuhi dengan pembelajaran, inovasi dan kerjasama merentas wilayah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Lembaga Amanah TEGAS, Dayang Noraazah Awang Sohor mewakili Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak yang juga Pengerusi Tegas, Datuk Len Talif Salleh pada program TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp 2026 Demo Day di TEGAS Digital Village, di sini, hari ini.
Menurutnya, program yang bermula sejak 2018 itu terus menjadi tonggak utama TEGAS Digital Village dan Digital Innovation Hub, dengan edisi kali ini memperkenalkan kurikulum berteraskan AI bersama Growth Through Innovation.
Beliau berkata, inisiatif tersebut selari dengan PCDS 2030 dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 dalam memperkukuhkan pembangunan bakat serta keusahawanan digital.
TEGAS turut menyediakan laluan pembangunan syarikat pemula menerusi Program SCALE Sarawak, Shell LiveWIRE Malaysia dan Program Landing Pad bagi membantu pengasas mengembangkan perniagaan.
“Satu bootcamp hanyalah garis permulaan. Untuk membina sebuah syarikat yang mampan dan bersedia menarik minat pelabur, anda perlu terus belajar serta memanfaatkan sepenuhnya keseluruhan ekosistem pembangunan yang disediakan oleh TEGAS,” ulasnya.
Len berkata, Kerajaan Sarawak melalui TEGAS menyediakan pembiayaan, rangkaian korporat antarabangsa dan bimbingan global secara percuma kepada usahawan terpilih.
Beliau turut menggesa syarikat pemula untuk memanfaatkan teknologi AI, pembangunan aplikasi tanpa kod serta ilmu ekonomi unit bagi meningkatkan daya saing perniagaan.
Antara kumpulan yang berjaya menerima anugerah pada majlis tersebut adalah kumpulan Trigona Bidara, Pangkas, GoAcara, Ritma Insights dan Borneo Origin.
Setiap pemenang menerima rangkaian ganjaran komersial yang komprehensif, termasuk hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.00, akses ruang kerja bersama percuma di TEGAS Digital Village (TDV) di Kuching serta TEGAS Digital Innovation Hubs di Bintulu dan Miri.
Selain itu, melalui rakan kongsi strategy TEGAS dengan Mindswitch, para pemenang turut dianugerahkan kelas induk harta intelek (IP) secara percuma.
