Peruntukan RM1.5 bilion tubuh agensi Zon Ekonomi Sibu

SIBU: Kerajaan Sarawak mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion untuk penubuhan agensi Zon Ekonomi Sibu.

“Buat permulaan, saya akan memasukkan peruntukan RM1.5 bilion dalam bajet baharu bagi Zon Ekonomi Sibu,” menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini, hari ini.

Abang Johari menyokong penubuhan agensi bagi pembangunan ekonomi Sibu kerana jaringan jalan raya yang semakin baik, termasuk jalan pesisir pantai dan Jalan Utama Kedua akan memperkukuh hubungan antara Sibu dan Kuching.

Katanya, ini sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan, pelancongan serta pertumbuhan sektor perkhidmatan di bandar Sibu.

“Saya bersetuju mewujudkan satu agensi, tetapi namanya ialah Zon Ekonomi Sibu kerana pembangunan ekonominya agak kompleks dengan sektor perkhidmatannya,” katanya.

Ini susulan cadangan penubuhan sebuah badan ekonomi khusus oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.

Dalam ucapan aluannya, Dr Annuar mencadangkan penubuhan Pihak Berkuasa Forum Ekonomi Sibu bagi merancang dan memacu pembangunan ekonomi bandar itu untuk menangani penghijrahan tenaga mahir serta memastikan Sibu kekal sebagai pusat pertumbuhan utama di Zon Tengah Sarawak.

Beliau berkata, badan itu boleh menyelaras pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri berskala besar serta industri makanan bagi menjadikan Sibu sebagai hab bekalan makanan untuk seluruh Sarawak.

Menurutnya, pengukuhan aktiviti ekonomi penting bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi agar golongan profesional kelahiran Sibu tidak terus berhijrah ke luar Sarawak dan luar negara.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusuf, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.