Zon Ekonomi Sibu pacu pembangunan mampan bandar Sibu

SIBU: Kerajaan Sarawak akan membangunkan Sibu secara lebih menyeluruh, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, langkah tersebut menerusi penubuhan Zon Ekonomi Sibu yang menggabungkan pembangunan ekonomi, bandar, infrastruktur, pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar bagi memastikan bandar itu terus berkembang secara mampan.

Tegasnya, langkah itu penting berikutan perubahan landskap ekonomi negeri yang pernah menjadi pemacu utama pembangunan Sibu tidak lagi memainkan peranan seperti dahulu.

“Sibu pada asalnya membangun disebabkan industri pembalakan.

“Dengan dasar yang kita punyai hari ini, sebabkan perubahan iklim maka industri balak tidak memainkan peranan seperti mana dahulu dalam sistem ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Sarawakku Sayang Sibu di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini hari ini.

Tambah Abang Johari, kerajaan juga mendapatkan khidmat pakar untuk mengkaji model pembangunan Amsterdam di Belanda yang mempunyai persamaan dengan Sibu dari segi bentuk muka bumi dan kedudukan berhampiran sungai.

“Cabaran utama Sibu ialah kedudukan tanah yang lebih rendah daripada paras sungai.

“Keadaan tanah gambut juga menyebabkan masalah air bertakung dan kita akan mengguna pakai pendekatan seperti di Amsterdam melalui pembinaan sistem terusan dan saliran air yang lebih cekap,” ujarnya.

Namun, jelasnya, pembangunan semula ini memerlukan masa antara 15 hingga 20 tahun dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif itu akan menjadi platform untuk menyelaras pembangunan bandar secara holistik serta menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor perkhidmatan, kewangan, insurans dan pelancongan.

Beliau turut yakin kekuatan Sarawak dalam tenaga hijau, pembangunan modal insan serta infrastruktur moden akan memperkukuh kedudukan Sibu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu di wilayah tengah negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan akan mewartakan kawasan perlindungan alam semula jadi di Bukit Lima seluas 301 hektar
bagi memastikan kawasan tersebut terus dipelihara.

Tegasnya, kawasan itu hanya akan menempatkan pembangunan berskala kecil yang menyokong aktiviti rekreasi, pendidikan alam sekitar dan penyelidikan.

“Bukit Lima turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai “The Largest Protected Urban Peat Swamp Nature Reserve in Malaysia,” ujarnya.