SINGAPURA: Sarawak menggesa kerjasama serantau dan global dipertingkatkan dalam menangani cabaran berkaitan pengurusan sumber air.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, perubahan iklim telah menyebabkan keadaan cuaca ekstrem dan tidak menentu.
Ini mengganggu corak hujan dan ketersediaan air.
Beliau berkata, tiada negara yang mampu menghadapi cabaran ini secara bersendirian apabila melibatkan pengurusan sumber air.
“Justeru, keselamatan sumber air pada masa depan perlu melibatkan kerjasama serantau dan global,” katanya semasa menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Kerjasama Serantau – Meneroka Pasaran Air Asia Tenggara: Sinergi Serantau dalam Menangani Cabaran Bersama Sumber Air’ sempena Singapore Business Forum @ Spotlight Singapore International Water Week 2025, di sini semalam.
Julaihi turut menekankan pelbagai aspek kerjasama serantau dan global dalam pengurusan sumber air, termasuk usaha kelestarian alam sekitar yang menyumbang ke arah mengurangkan kesan perubahan iklim.
“Peluang kerjasama ini boleh merangkumi bidang seperti pengurusan sumber bersepadu, penggunaan teknologi dan proses canggih, pembiayaan dan pelaburan sektor swasta, pembangunan kapasiti serta perkongsian dan pemindahan kepakaran teknikal.
“Tindakan utama yang diambil oleh Sarawak bagi memastikan bekalan air bersih dan selamat ialah melalui pengurusan sumber air yang berkesan dari peringkat punca,” tambah beliau.
Beliau berkata, sebanyak 28 kawasan yang meliputi 4 juta hektar atau kira-kira 30 peratus daripada keluasan Sarawak telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air.
