KUCHING: Malaysia perlu mengakhiri stigma bahawa sistem kesihatan tempatan ‘murah tetapi berkualiti’ dan mula membayar gaji lebih setimpal kepada profesional perubatan, terutama di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, sudah tiba masanya kerajaan melihat realiti bahawa doktor di negara ini memiliki kepakaran tinggi namun masih menerima bayaran yang tidak mencerminkan tanggungjawab dan latihan panjang yang mereka lalui.
“Profesion ini memerlukan pengorbanan besar – enam tahun di universiti dan tujuh tahun lagi untuk menjadi pakar. Tapi realitinya pada 2025, mereka dibayar murah,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Menurutnya, tekanan hidup serta tawaran lumayan di luar negara menyebabkan lebih ramai doktor, terutama dari Sabah dan Sarawak, memilih untuk berhijrah.
Katanya, mengikut standard kebangsaan, Sarawak sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya 6,000 doktor, namun kini hanya mempunyai sekitar 4,000 orang sahaja – termasuk 2,000 dari Semenanjung.
“Malah, kekurangan ini dijangka bertambah kritikal apabila ramai doktor sedia ada bakal bersara,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Sarawak bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang mencapai status masyarakat menua, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap jumlah doktor.
“Kadar kelahiran semakin menurun, sementara jumlah warga emas meningkat. Ini bermakna kita memerlukan lebih ramai pakar perubatan berbanding sebelum ini,” katanya.
Sebagai usaha menghargai peranan penjawat awam, termasuk petugas kesihatan, katanya Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan insentif khas.
Buat pertama kali dalam sejarah, penjawat awam negeri menerima bonus dua bulan pada Disember 2024 (tertakluk cukai) dan tambahan tiga bulan insentif tanpa cukai sepanjang 2025, ujarnya.
Dr Sim turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memperjuangkan autonomi kesihatan menerusi kerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Persekutuan berdasarkan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada 2021.
“Jika kita tidak bertindak sekarang, lima hingga 10 tahun akan datang mungkin sudah terlambat untuk menyelamatkan sistem kesihatan awam kita,” katanya.
