KUCHING: Kampung Baru diangkat sebagai tapak perintis bagi projek inovatif “Waste to Wealth: Empowering Communities Through Green Innovation” yang dilihat mampu membuka dimensi baharu dalam menjana pendapatan komuniti luar bandar melalui pendekatan keusahawanan hijau.
Projek berimpak tinggi itu dilaksanakan di bawah inisiatif UniMADANI oleh universiti awam termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan sokongan penuh Kementerian Kewangan Malaysia.
Ketua Projek UniMADANI, Dr Zainab Ngaini berkata, ia bertujuan memperkasa komuniti menerusi pendidikan, latihan serta pembangunan kapasiti berteraskan pemindahan ilmu dan inovasi sosial.
“Menerusi pendekatan ‘waste-to-product’, sisa buangan seperti minyak masak terpakai dan hampas kopi diolah menjadi produk bernilai pasaran seperti sabun botani dan lilin estetik.
“Malah, projek ini turut memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membantu peserta dalam aspek penjenamaan dan pemasaran,” katanya pada majlis itu, hari ini.
Tambah Dr Zainab, empat komponen utama digerakkan meliputi kutipan sisa buangan, bengkel pembuatan produk, latihan keusahawanan serta kempen kesedaran komuniti. Ia bukan sahaja memberi nilai tambah kepada alam sekitar, malah membuka peluang keusahawanan mikro yang mampan,” jelasnya.
Menurut beliau, Kampung Baru berpotensi menjadi model rujukan kepada komuniti luar bandar lain di Sarawak. Projek ini juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta aspirasi negara dalam menggalakkan ekonomi kitaran, mengurangkan impak alam sekitar dan memperkukuh kesejahteraan komuniti.
