KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berjaya mengkomersialkan produk hasil penyelidikan syarikat Lauryn Manufacturing Sdn Bhd.
Produk berasaskan teknologi bahan inovatif yang dibangunkan oleh syarikat itu kini bersedia menembusi pasaran antarabangsa.
“Ini hasil kerjasama strategik dan gabungan kepakaran akademik dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, UNIMAS dan kekuatan industri, Shell GTL SaraCare Global iaitu jenama kosmetik Shell MDS (Malaysia).
“Melalui formula bahan versatil hasil penyelidikan UNIMAS, produk ini bukan sahaja memenuhi piawaian industri, malah membuka potensi dalam pelbagai aplikasi termasuk kesihatan dan penjagaan diri,”menurut kenyataan media UNIMAS.
Kerjasama strategik ini merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan Shell MDS (Malaysia) bersama Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.
Majlis pelancaran Shell SaraCare GTL Global disempurnakan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni sempena Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, baru-baru ini.
Turut diadakan ialah pertukaran dokumen kerjasama di antara Shell MDS (Malaysia) dan Lauryn Manufacturing Sdn Bhd.
Majlis dihadiri Pengerusi Shell Malaysia oleh Siti Sulaiman, Pengarah Urusan Shell MDS (Malaysia) Amir Bakar, dan UNIMAS diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Siti Noor Linda Taib , Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Prof Dr Faisal Ali Anwarali Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lauryn Manufacturing Sdn Bhd, Prof Madya Dr Mohd Razip Asaruddin.
