KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) Kali Ke-269 yang berlangsung di Balai Mesyuarat, Istana Negara di sini, hari ini.
Ketibaan Tun Pehin Sri disambut oleh Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Yang Berbahagia Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja; serta pegawai-pegawai kanan Istana Negara yang lain.
Hadir mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mewakili Premier Sarawak.
Sebelum bermulanya mesyuarat, Tun Pehin Sri turut berkesempatan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja dimulakan dengan titah ucapan penuh oleh Pengerusi Mesyuarat, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan diakhiri dengan sembah taklimat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Antara agenda penting mesyuarat kali ini termasuk Taklimat Khas Keselamatan yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja ini merupakan wadah tertinggi bagi Raja-Raja Melayu dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri untuk bersama-sama berbincang, memberi nasihat serta pandangan berhubung dasar-dasar negara, khususnya hal-hal yang berkait rapat dengan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Tun Pehin Sri mendoakan semoga negara terus dilimpahi rahmat, dikurniakan keamanan dan kesejahteraan yang berterusan di bawah naungan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
