Kuching Marathon Heritage Run perkenalkan keunikan bandar raya Kuching

KUCHING: Seramai 3,200 pelari dari dalam dan luar negara mengesahkan penyertaan Kuching Marathon Heritage Run 2025 dijadual berlangsung pada 27 Julai ini di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, daripada jumlah itu, kira-kira enam peratus peserta antarabangsa mewakili 22 negara antaranya Australia, China, Jerman, Jepun, Korea, Kenya, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Katanya, larian anjuran City Jogger’s Club turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai penaja korporat dengan menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM54,600, termasuk pelbagai barangan eksklusif.

“Larian ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi memperkenalkan keindahan dan keunikan bandar raya ini kepada dunia.

“Ia seiring dengan usaha Sarawak muncul sebagai destinasi pilihan dalam pelancongan sukan,” katanya pada sidang media berhubung pelancaran larian itu di sini, hari ini.

Katanya, penganjuran larian itu dijangka menyumbang kepada kemasukan pelancong serta merangsang ekonomi tempatan.

Menurut Abdul Karim, dua kategori utama dipertandingkan iaitu 21KM Half Marathon dan 10KM Run telah menerima pengiktirafan AIMS (Association of International Marathons and Distance Races), sekaligus meletakkan Kuching di peta dunia sebagai lokasi larian yang diiktiraf bertaraf antarabangsa.

Menjadikannya lebih menarik, laluan larian direka khas bagi menonjolkan wajah bandar Kuching dari bangunan bersejarah, mural seni, hingga ke kawasan hijau yang indah.