PUTRAJAYA: Aspirasi untuk menjadikan Malaysia dan Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang mampan, berdaya saing dan progresif adalah antara intipati perbincangan di antara Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan di Putrajaya, semalam.
Awang Tengah merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan itu membincangkan perkara berkenaan semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas menteri luar berkenaan.
Di samping itu, kunjungan itu juga bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Kementerian Luar Negeri, khususnya dalam jaringan diplomatik Sarawak di peringkat antarabangsa.
Awang Tengah turut menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyokong agenda perdagangan Malaysia dalam misi-misi perdagangan antarabangsa yang dikendalikan oleh Wisma Putra dan agensi berkaitan.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah pegawai-pegawai kanan dari Kerajaan Negeri Sarawak dan Kementerian Luar Negeri Malaysia.
