DALAT: Kerajaan Sarawak membantu seramai 470 penduduk miskin melalui Projek Kecil Luar Bandar-Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) sejak 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM6.47 juta untuk penerima projek MRP-PPRMS terbabit.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Cek MRP-PPRMS di Kompleks Kebajikan Dalat di sini, semalam.
Pada majlis itu, sebanyak 38 rumah di Dalat menerima peruntukan berjumlah RM491,000 di bawah projek MRP-PPRMS.
Selain itu, Fatimah berkata langkah-langkah proaktif juga sedang dirangka dan dilaksanakan untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga miskin di sini.
Sehubungan itu, mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan isu kemiskinan dan pengangguran di daerah ini melibatkan seramai 161 Ketua Isi Rumah (KIR) masih tergolong dalam kategori miskin.
