SABATI anjur majlis tahlil peringati pemergian isteri Premier Sarawak

KUCHING: Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) menganjurkan majlis tahlil bagi memperingati Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang kembali ke rahmatullah 23 Jun lalu.

Majlis tahlil berlangsung di Wisma SABATI dipimpin Ustazah Natijam Misau dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), dimulai dengan bacaan Surah Yaasin diikuti tahlil dan doa arwah.

Hadir sama Timbalan Presiden II SABATI, Dato Dayang Morliah Awang Daud, isteri Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Puan Sri Dato Fatimah Iskandar, Bendahari Kehormat SABATI, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, Naib Pengerusi II Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Sarawak, Datin Noraini Hussin, serta Timbalan Pengerusi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Wanita Sarawak, Datin Sri Haizan Ibrahim.

Turut hadir ialah ahli keluarga Allahyarhamah dan jemputan lain.

Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani, isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.34 pagi di Pusat Perubatan Normah, Kuching, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang pada hari yang sama.

Allahyarhamah yang meninggal dunia pada usia 76 tahun dikenang sebagai tokoh wanita berjiwa rakyat yang telah banyak menyumbang dalam memperkasa agenda kebajikan dan pembangunan komuniti, khususnya melalui penglibatan aktif dalam SABATI dan MAKSAK Wanita.