Program Siswa Balik Sekolah bakal dilancar

KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal melancarkan program Siswa Balik Sekolah bagi memperkukuh asas pelajaran pelajar luar bandar menjelang pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) pada 2026.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, program ini akan melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang turun padang secara sukarela membantu murid Tahun 3 hingga Tahun 6 dalam subjek teras seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

“Jika pelajar luar bandar tidak bersedia dari awal, mereka mungkin terlepas peluang menikmati pendidikan percuma,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan TCS–Yayasan Taqwa di sini, hari ini.

Program yang dijangka bermula tahun depan itu akan dilaksanakan semasa cuti semester, melibatkan empat universiti mengikut zon — Swinburne dan ICATS (selatan), UTS (tengah), dan Curtin (utara).

Menurut Dr Annuar, perbincangan bersama JPNS dan rakan strategik sedang dijalankan untuk memuktamadkan pelaksanaan program dalam tempoh enam bulan.