Temasya OKSHE tonjol warisan, seni, budaya masyarakat

KUCHING: Program Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) terus memeriahkan pentas utama di Tebingan Sungai Kuching di sini, malam tadi dengan pelbagai program menarik.

Majlis dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi serta isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.

Antara pengisian program termasuk aktiviti yang menonjolkan keunikan warisan, seni dan budaya tempatan masyarakat Sarawak.

Keunikan program tersebut menarik ribuan pengunjung yang menyaksikan persembahan artis terkenal tanah air seperti Mimi Fly, Bob Yusof, Melissa Francis, Gabriel Fairuz, Hazmil Hasnan, Charlyn Dare dan Hijrah Yahya.

Gabungan persembahan muzik tradisional dan moden yang diiringi oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan Potres Orkestra memberikan pengalaman persembahan yang unik dan memukau kepada para penonton.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman serta Ahli-Ahli Dewan DBKU.

Sepanjang tiga hari penganjuran bermula 18 hingga 20 Julai, pelbagai aktiviti diadakan antaranya Pentas Warisan, Dapur Warisan, Keunggulan Seni Songket dan Keringkam Melayu Sarawak, Bengkel Warisan, Bazar Seni dan Kraf, Heritage Fun Ride serta Heritage Amazing Race.

Temasya yang julung kali diadakan ini bukan sahaja memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, malah turut mengangkat keindahan serta keunikan budaya tradisional Sarawak khususnya dan Malaysia amnya.

Di samping menjadi platform untuk penggiat seni dan usahawan tempatan menampilkan bakat serta produk kreatif mereka, temasya ini juga memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan menghargai khazanah budaya warisan.

Penganjuran Temasya OKSHE sejajar dengan visi dan misi DBKU untuk membentuk warga kota dan Bandaraya Kuching sebagai komuniti yang berbudaya, harmoni dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi bandaraya Cantik, Bersih, Selamat, Pintar dan Lestari.

OKSHE juga merupakan pendekatan inovatif yang menggabungkan pelestarian warisan budaya dan pembangunan digital bagi memacu ekonomi komuniti tempatan serta memperkukuh identiti warisan Sarawak.

Dengan penekanan terhadap integrasi teknologi, keterlibatan masyarakat, dan tadbir urus yang berkesan, OKSHE diyakini akan terus berkembang sebagai ikon warisan berinovasi dan kebanggaan rakyat Sarawak pada masa hadapan.