KUCHING: Teratak Kasih Tok Nan (TKTN) menerima suntikan dana khas selama tiga tahun berjumlah RM2.25 juta daripada Kerajaan Sarawak sebagai sokongan untuk menangani isu HIV dan AIDS di negeri ini.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, peruntukan tersebut bagi memperluaskan operasi TKTN hingga ke Bintulu susulan peningkatan kes baharu HIV di wilayah ini yang memerlukan perhatian serius.
“Peruntukan sebanyak RM2.25 juta akan disalurkan bagi menyokong keperluan operasi dan pengembangan TKTN, meluaskan capaian perkhidmatannya dari Kuching ke Miri, dan tidak lama lagi ke Bintulu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sempena Majlis Gala Yayasan AIDS Malaysia (MAF) Kuching 2025, di sini.
Hadir sama Penaung MAF Borneo i Datuk Amar Jamilah Anu, Pemegang Amanah MAF Profesor Madya Dr Raja Iskandar Shah Raja Azwa serta Pengarah Eksekutif MAF dan Majlis AIDS Malaysia Jasmin Jalil.
Tambah Abang Johari, TKTN dari Kuching ke Miri, dan dari Miri ke Bintulu akan membolehkan lebih ramai insan yang menderita akibat penyakit itu menerima rawatan.
Tegas beliau, walaupun terdapat kemajuan luar biasa dalam rawatan HIV, masih terlalu ramai yang terus menderita tanpa diketahui.
“Bukan kerana virus itu sendiri, tetapi kerana ketakutan, rasa malu dan diskriminasi yang masih menyelubunginya.
“Ini adalah beban yang tidak sepatutnya ditanggung oleh sesiapa pun, dan ia adalah beban yang menjadi tanggungjawab kita semua untuk membantu ringankan,” ujarnya lagi. – UKAS
