BINTULU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah mencadangkan agar larian jambatan diadakan serentak di seluruh bahagian negeri ini pada masa akan datang.
Katanya, inisiatif itu sebagai menghargai usaha Kerajaan Sarawak membangunkan infrastruktur di seluruh negeri menyaksikan sebanyak 16 jambatan dibina dengan lima daripadanya sudah siap.
“Mungkin satu fenomena larian jambatan diadakan serentak di semua bahagian Sarawak,” katanya kepada media selepas merasmikan Larian Jambatan Jepak 2025, di sini hari ini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berhasrat menjadikan larian Jambatan Jepak yang akan dirasmikan pembukaannya tidak lama lagi sebagai acara tahunan.
Selain itu, turut dirancang ialah Larian Jambatan Batang Lupar 1 apabila infrastruktur mega itu siap dibina pada penghujung tahun ini.
Lebih 2,300 peserta menyertai larian tersebut, yang mencipta sejarah m apabila diadakan sempena siapnya projek mega ikonik menghubungkan Kuala Kemena di Bintulu.
Larian anjuran Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur moden, malah memperlihatkan semangat perpaduan dan keterlibatan komuniti pelbagai kaum serta latar belakang dalam suasana penuh harmoni dan sihat.
