Masjid baharu reka bentuk moden bakal dibina

BETONG: Satu lagi mercu tanda bakal menghiasi bahagian ini apabila sebuah masjid baharu dengan reka bentuk moden bakal dibina.

Pembinaan itu bukan sekadar sebagai rumah ibadah, tetapi simbol keutuhan perpaduan ummah dan kemajuan masyarakat Islam di kawasan ini.

Projek itu dilancarkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau menyifatkan pembinaan masjid tersebut memberi makna kepada komuniti Islam, jauh melebihi pembinaan fizikal semata-mata.

“Masjid ini akan menjadi titik pertemuan umat Islam, bukan sahaja sebagai tempat solat, malah medan menyemarakkan syiar Islam, membina jati diri serta melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia,” katanya pada majlis pelancaran pembinaan masjid berkenaan di sini, hari ini.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pembinaan Masjid Baharu Betong atas inisiatif ini.

Beliau optimis keluasan tapak masjid dapat dimaksimumkan untuk pelbagai kemudahan tambahan seperti dewan serbaguna, pusat pengajian dan kawasan rekreasi komuniti.

“Projek ini adalah hak milik masyarakat. Saya yakin masjid ini nanti akan menjadi simbol silaturahim, lambang perpaduan serta mercu tanda keharmonian Islam di Bahagian Betong,” ujarnya lagi.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak Datu Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi.