Beri tumpuan pada tanaman makanan, ternakan

SEBAUH: Sarawak harus memberi tumpuan kepada tanaman makanan dan ternakan agar tidak terus bergantung kepada kelapa sawit sebagai hasil pertanian.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, ketika ini sebanyak 83 peratus hasil pertanian negeri disumbangkan oleh industri kelapa sawit, manakala sumbangan subsektor lain seperti padi, beras dan penternakan masih pada tahap rendah.

“Kita perlu beri penekanan kepada tanaman makanan dan ternakan untuk memastikan keseimbangan dalam rantaian bekalan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Sebauh 2025 di perkarangan parkir Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), di sini, semalam.

Rundi berkata, antara pencapaian setakat ini ialah tahap sara diri (SSL) melebihi 100 peratus bagi beberapa komoditi utama seperti daging khinzir, ayam dan telur, sekali gus membuktikan kemampuan Sarawal dalam memenuhi keperluan domestik.