KUCHING: Nuansa Seni Edisi Keenam: Festival Kelestarian Warisan Melayu Sarawak merupakan platform untuk memelihara dan memperkasa seni serta warisan budaya Melayu Sarawak dalam konteks moden dan berdaya saing.
Bertemakan “Pertembungan Dua Zaman, Satu Jiwa”, program ini menyatukan penggiat seni, pereka dan komuniti budaya dalam usaha melestarikan identiti warisan Melayu Sarawak secara progresif dan relevan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merasmikan program tersebut di Hotel Waterfront di sini, malam tadi.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Persekutuan-Negeri) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Pengarah Projek, Dr. Sharifah Suzana Wan Shukran yang lebih dikenali Dr. Anna Sue berkata, Nuansa Seni mula diperkenal 2021 ketika Covid-19 dan kini berkembang sebagai ekosistem budaya.
Ia merangkumi seni persembahan, kraf warisan, reka fesyen serta naratif kontemporari.
“Perkataan ‘Nuansa’ membawa maksud perbezaan yang sangat halus. Apa yang saya cuba sampaikan melalui perkataan ‘Nuansa’ ini ialah walaupun kita hidup penuh dengan kemodenan, seni dan budaya kita jangan dibiarkan hilang.
“Jika ada perbezaan biarlah ia seperti ‘nuansa’ – sedikit sahaja perbezaannya, berbeza tetapi tidak ketara,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis berkenaan.
Majlis Nuansa Seni ini menyaksikan pertunjukan fesyen eksklusif yang menggabungkan unsur tradisional dan kontemporari melibatkan koleksi busana dan hasil seni daripada pereka serta artisan seperti D’Keringkan x Maskota, Kolaborasi Jurulatih Sulaman Keringkam, Saanah Sukit Ajang (Songket Rejang), Atma Nusa, Raja Inai Sarawak, Gabungan Penyulam-Penyulam Negeri Sarawak, Halmi Batik dan Harizan Khaider.
