MIRI: Pemimpin agama di negeri ini disaran memainkan peranan mengajak masyarakat saling menghormati agar Sarawak terus menjadi mercu tanda keharmonian dan perpaduan dalam negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejarah telah menyaksikan banyak konflik berlaku di peringkat global berpunca dari perbezaan pendapat dan pengabaian keharmonian kaum dan agama.
“Dalam konteks ini, pemimpin agama memainkan peranan penting dalam memperkasakan dialog antara agama dan memupuk rasa saling hormat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan.
“Mereka adalah rakan kongsi dalam membina sebuah masyarakat holistik yang memberi inspirasi, mendidik dan memperjuangkan masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Hari Sarawak 2025 di sini malam ini.
Beliau menambah, pengaruh pemimpin agama sangat penting dalam membentuk pedoman moral bagi sebuah Sarawak yang berbilang kaum.
Katanya, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjaya mewujudkan ekosistem harmoni antara agama yang kukuh dan stabil, sekali gus menjadikan Sarawak model perpaduan.
Menurut Premier lagi, kerajaan negeri telah menyalurkan dana sebanyak RM475 juta setakat ini untuk memperkasakan rumah-rumah ibadat agama-agama lain mencakupi pembinaan atau menaiktaraf bangunan termasuk pembelian peralatan keagamaan.
