KUCHING: Kerajaan Sarawak menyumbangkan sebuah mesin Automated External Defibrillator (AED) kepada Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) di Klinik Kesihatan Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak, di sini, hari ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian menyerahkan sumbangan mesin kepada Timbalan Komander Briged Sarawak PGA, ACP Rosdi Inai. Majlis turut dihadiri Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Supt Ku Majidi Che Ku Jusoh.
Mesin AED merupakan peralatan penting dalam menangani kes kecemasan seperti serangan jantung dan direka untuk digunakan dengan pantas oleh individu terlatih bagi memberikan kejutan elektrik kepada jantung dan meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa sebelum ketibaan petugas perubatan.
Dr. Sim berkata, sumbangan ini adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri untuk menyokong keperluan logistik serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan kesejahteraan anggota keselamatan.
“Kita mahu anggota pasukan keselamatan seperti PGA bukan sahaja menjaga keselamatan awam, tetapi juga memiliki keupayaan untuk bertindak pantas dalam situasi kecemasan perubatan,” katanya.
