LAWAS: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyifatkan laporan berita yang tular baru-baru ini, cuba melagakan pemimpin tertinggi Sarawak sebagai laporan tidak ada kredibiliti.
Ini bertentangan dengan prinsip pelaporan berita kerana gagal mengemukakan sumber, katanya.
“Saya dikaitkan dalam berita ini konon ada power struggle dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sedangkan yang empunya badan tak tahu apa-apa dan ini tidak ada kredibiliti. Malah, di mana dia dapat sumber itupun tidak dinyatakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari di Hotel Seri Malaysia di sini, malam tadi.
Awang Tengah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB sehubungan itu sukar mengulas mengenai berita itu kerana tidak ada terlintas dalam pemikirannya seperti yang dilaporkan.
Beliau menegaskan telah dididik oleh Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga bekas Ketua Menteri dan mantan Yang di-Pertua Negeri tentang kesetiaan kepada pemimpin dan parti, keutamaan menjaga perpaduan dan bekerjasama dalam menjadikan PBB sebagai tunjang kekuatan serta kemajuan Sarawak.
“Begitulah juga pesanan Allahyarham Adenan dan Abang Jo kedua-duanya merupakan mentor saya dan saya berpegang kepada prinsip ini,” tambahnya.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa yang juga Timbalan Ketua Parti PBB Cawangan Bukit Sari.
