KUCHING: Sebanyak 17 projek perumahan mampu milik dilaksana tahun depan bagi membantu rakyat negeri ini selaras usaha mencapai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejumlah RM105 juta dana diperuntukkan dalam Belanjawan Sarawak 2024 menerusi Teras Strategik Ke-11 iaitu Membanteras Kemiskinan dan Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat.
“Dana itu diperuntukkan bagi melaksanakan sebanyak 17 projek perumahan mampu milik di Kuching, Limbang, Miri, Betong, Mukah dan Sarikei, menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam SHEDA kali Ke-30 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching( BCCK) di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan sebanyak RM122 juta kepada Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd untuk menangani isu pembiayaan akhir melibatkan pembeli rumah B40 dan M40.
“Daripada jumlah itu, sejumlah kira-kira RM84 juta telah diluluskan pada Ogos 2023,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Micheal Tiang Ming Tee dan barisan kenamaan lain.