KUCHING: AirBorneo akan menggantikan pesawat ATR lama dengan ATR 600 yang lebih baharu selepas tempoh pajakan semasa tamat dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi, dedah Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau berkata, selepas mengambil alih daripada MASwings, AirBorneo pada peringkat awal akan mengekalkan semua pesawat sedia ada di bawah pajakan bagi memastikan perkhidmatan penerbangan tidak terganggu, terutamanya bagi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
“Kebanyakan ATR sudah lama, jadi ia akan digantikan dengan pesawat ATR 600 baharu selepas tempoh pajakan tamat.
“Kami sudah mula meneliti pemerolehan pesawat baharu seperti yang dinyatakan dalam perjanjian,” katanya dalam sidang media khas Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya di Bangunan Baitulmakmur, di sini, hari ini.
Bagaimanapun jelasnya, belum ada keputusan dibuat mengenai penggantian enam pesawat DHC-6-400 Twin Otter yang memainkan peranan penting dalam perkhidmatan ke kawasan pedalaman di seluruh Sarawak.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan pemerolehan pesawat jet baharu bagi meluaskan laluan serantau setelah semua kelulusan dan lesen yang diperlukan diperoleh.
MASwings, yang kini di bawah pemilikan Kerajaan Sarawak dan dijenamakan semula sebagai AirBorneo, mengendalikan lapan pesawat ATR 72-500 dan enam pesawat DHC-6-400 Twin Otter.
Pesawat Twin Otter yang berpusat di Miri menyediakan sambungan penting ke 11 lapangan terbang luar bandar dengan landasan pendek (STOLport), yang kebanyakannya masih tidak dapat diakses melalui jalan darat.
Setakat ini, MASwings beroperasi di 22 destinasi, termasuk Brunei Darussalam melalui perjanjian perkongsian kod dengan pangkalan utama di Kota Kinabalu dan Miri.
Peralihan kepada AirBorneo menandakan era baharu dalam industri penerbangan Sarawak dengan kerajaan negeri berhasrat untuk memodenkan armada dan memperluaskan rangkaian perhubungan di seluruh rantau ini.
