Premier Sarawak hadiri majlis berbuka puasa bersama Kumpulan Yayasan Sarawak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluangkan masa menghadiri Majlis Berbuka Puasa Kumpulan Yayasan Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.

Kehadiran beliau disambut dif-dif kenamaan sebelum berbuka bersama 950 kakitangan dan ahli keluarga dari Kumpulan Yayasan Sarawak.

Usai menjamu selera selepas solat Maghrib, Premier Sarawak yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Sarawak menyaksikan simbolik penyerahan zakat sebanyak RM363,426 daripada Syarikat Petronesa Sdn Bhd dan RM12,000 dari Syarikat Sanjung Etika Sdn Bhd oleh Datuk Amar Mohamad Abu Bakar.

Simbolik penyerahan zakat disampaikan kepada Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abang Mohd Sibli Abang Mohd Nailie.

Selain itu, seramai 20 pelajar dari Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN), Yayasan Sarawak International Secondary School Petra Jaya, Kuching dan Sibu, pelajar-pelajar tajaan Yayasan Sarawak di bawah Program Pertukaran Pelajar dan anak-anak kakitangan Yayasan Sarawak menerima sumbangan duit raya yang disampaikan Abang Johari.

Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak.