ATM terima Sumbangsih Raya terbesar dari Kerajaan Sarawak

KUCHING: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima jumlah terbesar Sumbangsih Raya 2025 daripada Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK).

Menteri KPWK, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ATM menerima 4,500 daripada keseluruhan 12,000 pek Sumbangsih Raya pada tahun ini.

“ATM juga merupakan penerima pertama sejak program ini dilaksanakan 35 tahun lalu dan sehingga kini kekal sebagai penerima utama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan itu kepada Panglima Divisyen Pertama Infantri (1 DIV), Mejar Jeneral Datuk Khairul Anuar Abd Aziz di sini, hari ini.

Katanya lagi, selain menghargai pengorbanan anggota ATM dalam menjaga keselamatan Sarawak, kerajaan negeri turut mengiktiraf peranan kaum wanita, khususnya isteri anggota tentera.

Ia turut memberi peluang kepada KPWK untuk memahami kehidupan anggota ATM serta mengukuhkan hubungan strategik antara kerajaan negeri dan angkatan tentera, jelasnya.

“Kebanyakan ketua isi rumah dalam ATM hanya dapat bersama keluarga selama empat bulan dalam setahun, manakala baki lapan bulan berada di kawasan operasi atau menjalani latihan.

“Ini menjadikan isteri mereka sebagai tulang belakang keluarga, berperanan sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak,” katanya lagi.

Tambahnya, sebagai usaha untuk memperkasa wanita dalam komuniti ATM, Kerajaan Sarawak turut menyerahkan geran kepada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).

Menurut beliau, geran ini bertujuan membantu wanita menjana pendapatan serta memperkukuh kemahiran keibubapaan dan keusahawanan.

“Kami akan bekerjasama dengan BAKAT dalam aspek latihan kemahiran, termasuk keusahawanan digital seperti pemasaran dalam talian.

“Ini penting bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan ekonomi baharu dan cabaran masa depan,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Fatimah turut mengumumkan bahawa mulai tahun ini, program Sumbangsih Raya akan diadakan tiga kali setahun bagi perayaan utama di Sarawak, iaitu Tahun Baharu Cina, Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohd Razi Sitam, Setiausaha Tetap KPWK Datu Felicia Tan Ya Hua serta Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Salmah Jobeli.