KUCHING: Perincian kursus yang akan ditawarkan untuk pendidikan percuma di universiti milik Sarawak akan diketahui pada November ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kebanyakan kursus yang akan ditawarkan berkaitan sains.
“Saya akan beri maklumat terperinci pada November depan. Biar pelajar belajar bersungguh-sungguh dahulu.
“Saya akan umumkan senarai kursus secara terperinci supaya kita semua tahu dan secara kasar sekarang ini ialah kursus yang berkaitan sains dan untuk aliran seni pula, yang saya sebutkan tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media STEM Catalyst–Raspberry Pi 2025 yang diadakan di Bangunan Pentadbiran Sarawak Skills di sini hari ini.
Antara aliran seni yang ditawarkan adalah kewangan, perakaunan, undang-undang dan psikologi, jelasnya.
Katanya lagi, permohonan bagi kursus yang ditawarkan akan dibuka selepas November ini dengan tiada penetapan kuota akan dilaksanakan serta pengambilan pertama pelajar akan bermula dari Februari hingga April 2026.
Tambahnya, inisiatif pendidikan percuma ini kini memasuki peringkat terakhir.
