1,568 kes jenayah siber di Sarawak

KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 1,568 kes berkaitan pelbagai jenayah siber sejak Januari hingga Oktober 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini berdasarkan rekod polis dan melibatkan kerugian RM64,970,062.11.
 
“Penipuan E- Dagang merekodkan jumlah kes tertinggi, iaitu 513 kes melibatkan kerugian berjumlah RM4,479,809.74,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Ziarah Sumbangsih Raya 2025 dan penyampaian 2,400 kontena sumbangan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Jalan Badruddin di sini, hari ini.

Sesi sama juga diadakan di Ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak di Tabuan Jaya bagi menyerahkan sebanyak 1,550 kontena sumbangan itu.

Fatimah berkara, ini diikuti pinjaman tidak wujud merekodkan 253 kes (RM1,853,384.63), pelaburan tidak wujud merekodkan 232 kes (RM37,167,141.17); phone scam merekodkan 190 kes (RM12,039,054.29); tipu tawaran kerja merekodkan sebanyak 159 kes (RM5,066,712.14).

Seterusnya, penyamaran merekodkan 101 kes (RM1,607,113.6); E-Kewangan merekodkan 88 kes (RM1,669,164.53); dan Love Scam merekodkan 32 kes (RM12,039,054.29).