TYT, isteri teruskan program ‘Ihya Ramadan’ bersama warga PDRM

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meneruskan program Ihya Ramadan dengan berbuka puasa bersama warga Polis Sarawak di Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya, di sini hari ini.

Ketibaan beliau serta Toh Puan di Masjid Al-Mujahidin, Tabuan Jaya disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak SAC Wong Ing Fung, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Sarawak SAC Rizal Abd Rahman Sidek serta Ketua Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (KJIPS) Sarawak ACP Roselina Daud.

Antara tetamu kenamaan lain yang hadir ialah Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd. Sofi Md. Lepi dan wakil kepada Panglima Medan Timur Tentera Darat Markas Pemerintahan Medan Timur, Brigedier Jeneral Mohd Athiyah Hasan.

Majlis dimulai dengan sesi bergambar beramai-ramai di perkarangan masjid, diikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh qari jemputan, sebelum diteruskan dengan acara berbuka puasa.

Selepas itu, TYT dan Toh Puan bersama-sama dengan tetamu lain menunaikan solat Maghrib berjemaah, disusuli solat Isyak dan Terawih yang turut disertai lebih 200 jemaah.