Tambah baik SOP pelaksanaan projek RTP, tangani kontraktor bermasalah

MUKAH: Prosedur Operasi Standard (SOP) pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) perlu ditambah baik dengan memberi penekanan untuk menangani isu kontraktor bermasalah.

Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine sambil berkata, ia penting bagi memastikan isu lapuk itu tidak berulang lagi.

Malah, beliau turut mahu kontraktor bermasalah perlu diambil tindakan sewajarnya.

Tegas beliau, kontraktor bertanggungjawab juga perlu memastikan projek siap mengikut spesifikasi, kualiti dan tempoh ditetapkan.

“Ada segelintir kontraktor yang tidak beretika dan bersikap sambil lewa, tidak mementingkan kualiti projek tapi hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga menyebabkan projek sakit.

“Apabila berjaya dalam cabutan undi projek dan sudah setuju terima projek, maksudnya kontraktor bersedia bertanggungjawab bagi memastikan projek itu siap dengan jayanya.

“Oleh itu, kita menggesa agensi bertanggungjwab menambahbaik SOP bagi projek RTP dengan menitikberatkan perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Mini Lab Cadangan Projek RTP 2026 Daerah Mukah yang dipengerusikan Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip di Menara Pehin Setia Raja Mukah, semalam.

Untuk rekod, sejumlah 20 projek RTP dirancang untuk dilaksana di DUN Tellian pada 2026.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, projek RTP yang dilaksana di DUN Balingian harus memberi impak kepada rakyat dan bukan sekadar ‘gajah putih’,

Katanya, RTP membantu memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di bandar tetapi ke luar bandar seperti kawasan DUN Balingian.

Jelas beliau, RTP memang menjadi salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak pimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memperkasakan masyarakat luar bandar.

Sebanyak 30 projek RTP akan dilaksana di kawasan DUN Balingian pada 2026.