Awang Bemee dilantik senator

KUCHING: Penasihat Undang-undang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah hari ini dilantik sebagai Senator oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pengamal undang-undang dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka selama tiga penggal dari 1996 hingga 2011, Awang Bemee adalah Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching dan pengarah sebuah anak syarikat badan berkanun yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian (kelas dua atas) serta pernah menyertai kursus dan lawatan sambil belajar di bawah naungan Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) di United Kingdom dan Australia.

Berkahwin dan mempunyai tiga orang anak, Awang Bemee lahir di Sibu pada 1959. Bersekolah di tempat lahirnya sebelum melanjutkan pengajian undang undang (1979 hingga 1983) di Universiti Malaya (UM).

Antara yang sama menuntut dengan beliau ialah Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, kedua-duanya anak Sarawak.

Beliau diterima sebagai peguambela dan peguamcara pada 1984 dan memulakan karier sebagai pengamal undang undang.

Awang Bemee telah dicalonkan untuk bertanding pada pilihan raya Dewan Undangan Sarawak pada 1996 bagi DUN Nangka dan menang tanpa bertanding.

Beliau berjaya mempertahankan DUN Nangka dalam dua pilihan raya seterusya pada 2001 dan 2006.

Lantikan anak Sarawak adalah pengiktirafan serta penghormatan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri terhadap kepimpinan Premier Sarawak.