Tiga majlis rasmi Para Sukma XXI Sarawak 2024

KUCHING: Sarawak akan menganjurkan tiga majlis rasmi selaku tuan rumah Para Sukma XXI Sarawak 2024 yang akan berlangsung di sini mulai 21 hingga 28 September depan.

Menteri Kebajikan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, majlis rasmi pertama akan dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang di Hikmah Exchange pada 21 September depan.

“Majlis rasmi kedua akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak pada 22 September 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Majlis – Majlis Rasmi Bagi Temasya Para Sukma XXI Sarawak 2024 di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, majlis rasmi ketiga akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan isteri Datin Sri Ruziah Mohd Tahir di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak pada 28 September depan.

“Harapan saya agar semua perancangan untuk menjayakan majlis–majlis utama sempena temasya para SUKMA XXI Sarawak 2024 dapat direalisasikan,” katanya.