Bangunkan Lundu sebagai hab pelancongan

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Unit Perancangan Ekonomi dapat merangka Pelan Induk Pelancongan dan Struktur Daerah Lundu baharu untuk membangunkan daerah itu menjadi hab pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, kali terakhir pelan induk pelancongan itu dirangka ialah lima tahun lalu iaitu dari 2014 hingga 2018.

Pelan induk pelancongan baharu itu hendaklah secara menyeluruh untuk membolehkan pihak terbabit membangun dan merancangkan projek menerusi tapaknya secara mampan, katanya semasa membahas Belanjawan Sarawak 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.

Azizul berkata, sekiranya inisiatif membangunkan sektor pelancongan itu diterima baik akan meningkatkan lagi Lundu sebagai destinasi ekopelancongan.

Pantai tempat penyu bertelur juga akan menyumbang kepada kekayaan ekologikal daerah Lundu dan harus dilindungi sebagai aset semula jadi, katanya.

Katanya, daerah Lundu juga memerlukan projek pembangunan bandar kerana masa depan Lundu adalah sebagai hab pelancongan.

Beliau berkata, kerajaan mungkin boleh merancang membangunkan daerah Lundu seperti membangunkan projek serupa Darul Hana.

Malah, disebabkan keadaan geologikal di Sungai Batang Kayan dan muara sungainya, beliau berkata, banyak rumah berhadapan risiko hakisan tanah dan menyekat pergerakan penduduknya.

Memindahkan penduduk dengan bayaran pampasan sewajarnya, tegas beliau, adalah alternatif terbaik kerana kos membina benteng lebih mahal daripada memindahkan penduduk.

Beliau juga mencadangkan supaya sebuah sekolah penerbangan dan landasan terbang mini dibina di Tanjung Datu untuk melengkapkan ekosistem penerbangan dan angkasa di wilayah ini.

Azizul juga berharap Kerajaan Sarawak dan Persekutuan menimbang untuk membina Hospital Lundu baharu di sebuah tapak yang sudah dikenal pasti.

Ini disebabkan Hospital Lundu sering mengalami masalah kesesakan, peralatan lama yang tidak dapat digunakan serta kekurangan fasiliti.

Berkenaan tanah perkuburan Islam, beliau berharap agar perancangan dibuat untuk tanah perkuburan berpusat di kawasan daerah Lundu bagi ketiga-tiga zon iaitu Sampadi, Lundu dan Sematan.

Azizul yang menyambut baik usaha kerajaan mengagihkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) diharapkan dilaksanakan tanpa ada ketirisan.

Beliau berkata, SKAS yang diagihkan kepada rakyat yang memerlukan membuktikan Kerajaan Sarawak prihatian dan mencadangkan ditingkatkan lagi proses pemutihan dan mengemaskinikan data bagi penduduk supaya tiada tercicir.