KUCHING: Belanjawan Sarawak 2025 yang memperuntukkan sejumlah RM15.8 bilion adalah bukti rakyat telah membuat pilihan yang tepat apabila memilih Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Premier Sarawak ke tahap yang seterusnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, belanjawan itu juga adalah bukti kuasa tindakan ekonomi dan pemimpin Sarawak harus berpandangan jauh dan mempunyai keazaman politik.
“Pembangunan termasuk jalan yang dibina di luar bandar dan untuk menghubungkan kawasan lain adalah penting dan impak serta manfaat kepada masyarakat tidak seharusnya diperlekehkan,” katanya semasa membahas Belanjawan Sarawak 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
“Saya amat kesal dan terkejut dengan pandangan daripada ADUN Padungan yang seolah-olah memperkecilkan usaha pembangunan yang dilaksana GPS di luar bandar.
Menurut Fazzrudin, sementara ada yang mengagumi dan menyambut baik kejayaan Sarawak, ada juga yang iri hati dan mencadangkan agar Sarawak membantu negeri-negeri lain kerana Sarawak sudah mempunyai pendapatan yang tinggi.
Menurut Fazzrudin, Sarawak bukan Kerajaan Persekutuan dan bukan tanggungjawabnya untuk membantu negeri-negeri lain.
Beliau menambah, tanggungjawab Sarawak adalah untuk membangunkan negeri ini dan membela nasib rakyatnya.
“Malah, kita juga memerlukan Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi tanggungjawab mereka membangunkan Sarawak dalam perkara yang termaktub di bawah Senarai Persekutuan,” tegas beliau.
Katanya, rakyat Sarawak harus memastikan hak Sarawak kekal dilindungi supaya rakyat dapat menikmati kekayaaan yang dimiliki.
