SIBURAN: Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri dilaksanakan secara teratur dan berdisiplin dengan pematuhan penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, aspek kebajikan mangsa bencana menjadi keutamaan, termasuk penyediaan makanan, kemudahan asas, rawatan kesihatan serta sokongan emosi kepada mereka yang terjejas akibat banjir.
“Mangsa yang ditempatkan di PPS berada dalam keadaan tertekan, justeru kerajaan negeri berusaha memastikan persekitaran PPS lebih selesa dan selamat bagi mengurangkan beban yang mereka hadapi,” katanya ketika melawat PPS Kampung Bugey, hari ini.
Tambah Uggah, matlamat pihaknya supaya kehidupan mereka di PPS berada dalam keadaan lebih baik berbanding sebelum berpindah, sekurang-kurangnya dari segi keperluan asas dan keselamatan.
Uggah menjelaskan, perhatian turut diberikan terhadap kebersihan PPS, keadaan tandas, penyediaan tilam serta bekalan makanan yang mencukupi bagi semua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan.
Dalam aspek kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri diminta menjalankan pemeriksaan bagi mengesan jangkitan selsema, dengan langkah pengasingan dilaksanakan bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit.
“Kerja-kerja pengasapan nyamuk juga dilakukan bagi mencegah risiko denggi,” katanya.
