BINTULU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.69 Jepak bercadang menjadikan program gunting rambut percuma kepada anak sekolah sebagai acara tahunan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, program ini mendapat sokongan padu komuniti kerana bukan sahaja mengurangkan kos perbelanjaan keluarga, malah memastikan anak sekolah dalam keadaan kemas dan berkeyakinan apabila kembali ke sekolah.
“Melihat kepada sokongan padu daripada komuniti setempat, Parti PBB N.69 Jepak bercadang menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan, selari dengan usaha memperkukuh hubungan antara parti dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Gunting Rambut Percuma Bersama Abang S anjuran Pergerakan Wanita dan Pemuda Parti PBB Ranting RPR Sebiew di Pondok KRT RPR SPPS Sebiew, di sini, hari ini.
Iskandar berkata, seramai 57 pelajar menerima perkhidmatan gunting rambut secara percuma yang melebihi sasaran awal seramai 50 orang sahaja.
Menurut beliau, peserta yang hadir bukan sahaja dari kawasan RPR Sebiew, malah melibatkan penduduk dari Kampung Tinggal (Sebiew), Kampung Kemunting, Kampung Baru serta kawasan sekitar.
