KUCHING: Bantuan yang diberikan secara berterusan merupakan kaedah efektif untuk meringankan beban golongan memerlukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, pendekatan ini juga berperanan memupuk nilai kemanusiaan dan memperkukuh keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat jelas terserlah melalui pelbagai program sumbangan yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak tanpa mengira kaum atau agama.
“Program seperti ini penting kerana ia menunjukkan keprihatinan, kerjasama, dan semangat kebersamaan antara sektor swasta dan pihak kepimpinan tempatan dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa dijaga,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan pra-Krismas P.193 Santubong anjuran Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak di Kampung Sungai Agas Baru, Jalan Matang, di sini, pagi tadi.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 300 pek bakul makanan diagihkan kepada penduduk di kawasan P.193 Santubong, sebagai bukti komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan rakyat terjaga dan keharmonian masyarakat terus dipelihara.
Selepas majlis, Nancy turut menziarahi salah seorang penerima sumbangan, Brayan anak Rangga, seorang OKU fizikal, di kediamannya di Bandar Baru Samariang, bagi melihat sendiri kesan positif bantuan yang diberikan.
