KUCHING: Cadangan Sarawak membekalkan tenaga elektrik ke Semenanjung Malaysia kini berada pada fasa teknikal yang memerlukan kajian terperinci termasuk survei serta pemakluman kepada Indonesia.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Tenaga, Datuk Amar Fadillah Yusoff, berkata projek berkenaan kini masih di peringkat dasar walaupun telah diluluskan secara prinsip.
“Selepas survei dimuktamadkan, kajian kebolehlaksanaan akan dijalankan melibatkan TNB, Petronas dan Sarawak Energy. Penetapan tarif belum diputuskan kerana kos sebenar masih dalam kajian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Ceria Ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) Edisi Petra Jaya, hari ini.
Mengenai penetapan tarif, Fadilah menjelaskan bahawa perkara tersebut masih belum diputuskan kerana kajian terperinci perlu dijalankan bagi menentukan kos sebenar sebelum sebarang rundingan dibuat.
Beliau turut menjelaskan bahawa kos penghantaran tenaga elektrik ke Singapura akan ditanggung oleh negara tersebut, manakala kos penghantaran ke Semenanjung Malaysia akan ditanggung oleh TNB bersama rakan strategik yang dilantik.
Dalam pada itu kata Fadillah, pembinaan kabel dasar laut dan penglibatan Grid ASEAN juga masih di peringkat prinsip, dengan pilihan sama ada satu kabel ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura, atau kabel terus ke Singapura tertakluk kepada persetujuan Indonesia.
“Kos penghantaran ke Singapura akan ditanggung negara tersebut, manakala ke Semenanjung Malaysia oleh TNB bersama rakan strategik. Keputusan muktamad bergantung kepada hasil kajian dan kelulusan Indonesia, yang setakat ini belum dimulakan.
“Diharapkan menjelang tahun depan projek ini boleh dimulakan, tetapi masa pelaksanaannya masih belum dapat dipastikan,” katanya lagi.
Dalam program TNB di Petra Jaya, seramai 250 pelajar menerima kit sekolah lengkap bagi menyokong pembelajaran mereka. Antara barangan disumbangkan dalam kit sekolah tersebut ialah beg sekolah, tumbler berpenyedut, bekas makanan / bento box, payung kompak, bekas alat tulis dan set alat tulis.
