LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk membina benteng menangani hakisan tebing sungai di Kampung Mission di sini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berkata, malahan kelulusan juga diberikan untuk melaksanakan projek penempatan semula bagi melindungi perkampungan berkenaan daripada hilang ditelan arus Sungai Lawas.
Projek itu adalah bagi menangani masalah bencana alam yang sukar dibendung, katanya pada majlis sambutan pra-Krismas daerah Lawas di Stadium Tertutup Lawas semalam.
Menurut Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Kampung Mission itu mempunyai sejarah khusus untuk Kristian Sidang Injil Borneo (SIB) yang perlu dibantukan.
“Saya tahu… saya orang Lawas, saya punya ramai kawan kristian SIB… kampung itu ada sentimental value sebagai pusat perkembangan SIB,” katanya.
Kerajaan negeri, tambahnya, telah meluluskan penempatan semula kampung berkenaan seperti yang diberitahu pada mesyuarat jawatankuasa bertindak pembangunan Bahagian Limbang dua hari lalu.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara Sarawak (NRDA) Datu Ubaidillah Latip dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.
Kampung Mission Lawas yang wujud pada zaman kolonial pada abad ke -19 secara signifikannya oleh mubaligh Kristian.
Mereka memainkan peranan penting dalam memperkenalkan pendidikan, penjagaan kesihatan, dan agama Kristian kepada masyarakat setempat, terutamanya di kalangan kumpulan masyarakat asli.
Sekarang, Kampung Mission berdepan isu hakisan tebingan sungai akibat hentaman arus deras daripada Sungai Lawas.
