Perkuatkan jentera parti hadapi PRN13

SIBU: Tahun 2026 menandakan tahun terakhir penggal DUN Ke-19 sekali gus menjadi fasa penting bagi Parti Pesaka Bumiputera (PBB) cawangan Sibu memperkuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

Naib Yang di-Pertua parti, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata bahawa semua peringkat parti perlu memulakan persiapan awal untuk menghadapi fasa politik yang kritikal ini.

“Menurut peruntukan Perlembagaan Negeri, PRN perlu diadakan sebelum penggal berakhir, iaitu selewat-lewatnya awal 2027 jika tiada pembubaran awal.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kita biasanya tidak menunggu sehingga penghujung tempoh,” katanya pada Majlis Makan Malam Mesra Parti PBB Sibu di Dewan LAKIS semalam.

Dr Annuar, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I sehubungan itu menggesa jentera parti memperkemaskan gerak kerja bagi memastikan persiapan pilihan raya berjalan lancar.

Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan pengundi baharu khususnya golongan berusia 18 hingga 28 tahun yang dianggap sebagai kumpulan terbesar dan berpotensi menentukan kemenangan parti.

“Ramai dalam kalangan mereka masih belum menyedari mereka layak mengundi atau belum mendaftar sebagai pengundi. Oleh itu, peranan ahli keluarga, ibu bapa, dan masyarakat amat penting untuk memaklumkan serta menggalakkan mereka mendaftar,” tambah beliau.