Bau, Lundu dicadang bergabung jadi bahagian Ke-13

KUCHING: Sarawak bakal mempunyai 13 bahagian jika cadangan penggabungan Daerah Bau dan Lundu dilulus oleh kerajaan negeri.

Cadangan penggabungan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.

Katanya, dengan penggabungan itu akan membolehkan kerajaan negeri melaksanakan proses tadbir urus dengan baik, efisien dan bersih.

Jelasnya, kedua-dua daerah itu sekarang berada di dalam Bahagian Kuching, bahagian yang besar dengan kepadatan tertinggi di antara semua bahagian.

“Lebih baik dalam kita membawa proses tadbir urus yang lebih baik dan efisien, Bau dan Lundu dikeluar dari Bahagian Kuching dan dibentuk di bawah satu bahagian.

“Dengan Daerah Bau mempunyai lebih dari 70,000 penduduk dan Daerah Lundu dengan lebih 40,000 penduduk, sudah sampai masanya ia diiktiraf sebagai bahagian,” katanya semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024), 2023.

Sementara itu, Miro berharap Sarawak dapat campur tangan dengan mendesak Kerajaan Persekutuan atau menggunakan dana sendiri menaik taraf Hospital Bau yang sangat kritikal kepadatannya.

Selain wad pesakit tidak mencukupi, hospital yang digunakan sejak tahun 80an itu juga memerlukan pelbagai peralatan sokongan, tegasnya.