KUCHING: Ordinan Ombudsman 2023 yang diluluskan sebulat suara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Isnin lalu, seterusnya akan dikuatkuasakan.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata, ordinan ini akan dikuatkuasakan setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
“Manakala, tarikh kuatkuasanya akan ditentukan kemudian oleh kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS- Satok, Dato Ibrahim Baki di persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.
Juanda berkata, ordinan ini merupakan satu sejarah bagi Sarawak dan juga Malaysia kerana ini merupakan undang-undang Ombudsman pertama di Malaysia.
Katanya, dari segi struktur Sarawak Ombudsman adalah terdiri daripada Ketua Ombudsman, Timbalan Ketua Ombudsman dan 3 hingga 5 orang lagi Ombudsman yang dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak untuk tempoh tiga tahun.
Tambahnya, dari segi pentadbiran, seorang Ketua Pentadbir dalam kalangan penjawat awam akan dilantik oleh Menteri untuk mengurus dan mentadbir pejabat Sarawak Ombudsman.
