KUALA LUMPUR: Langkah proaktif perlu digerak untuk memastikan sejarah negara, khususnya sejarah Sarawak diberi perhatian sewajarnya.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemahaman mendalam tentang sejarah negara adalah penting bagi pemimpin dan rakyat Malaysia sebagai asas untuk masa depan.
“Saya menggalakkan sarjana tempatan untuk memperluas penyelidikan dan penulisan mengenai sejarah Sarawak, merangkumi pelbagai perspektif, termasuk era sebelum dan selepas Brooke,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebook rasminya ketika menerima kunjungan hormat delegasi sejarawan negara di sini hari ini.
Dr Wan Junaidi menggesa masyarakat akademik untuk terus mengukuhkan pengajaran sejarah di peringkat kebangsaan.
Dengan kerjasama yang erat antara sejarawan, kerajaan dan institusi pendidikan, beliau yakin sejarah Malaysia dapat diajarkan dengan lebih mendalam dan berkesan.
Kunjungan hormat tersebut turut membincangkan sejarah secara mendalam dan komprehensif, memberi tumpuan kepada aspek sejarah Malaysia yang kurang diterokai.
Antara delegasi yang hadir adalah Dr Mustafa Ahmad, Profesor Datuk Emeritus Dato’ Dr Abdullah Zakaria Ghazali, Profesor Dr Ishak Saat, Profesor Madya Dr Abu Hanifah Haris, Dr Roslini Allani Abdul Kadir dan Tengku Marzuki Tengku Ismail.
