Kerajaan Sarawak, UNICEF jalin kerjasama lindungi sosial kanak-kanak

KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sedang bekerjasama dalam projek ‘Inisiatif Perlindungan Sosial Terintegrasi Sensitif Kanak-Kanak’.

Ia bertujuan mengintegrasikan bantuan sosial untuk kanak-kanak dalam intervensi awal kanak-kanak dan pendidikan keibubapaan.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan mesti mengutamakan pelaburan dalam kanak-kanak bagi memastikan bahawa polisi inklusif dan sensitif terhadap keperluan golongan paling miskin, kumpulan yang paling terpinggir, termasuk komuniti luar bandar, pelarian dan kanak-kanak yang tinggal di kawasan bandar.

Katanya, kerjasama ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperbaiki perlindungan sosial dan hasil pemakanan untuk kanak-kanak di Sarawak.

“Inisiatif kami bertujuan memastikan tiada kanak-kanak yang ketinggalan, dan kami berkomitmen untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk semua,” katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam ucapannya yang dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Pembukaan Persidangan Polisi Sosial Serantau 2024 di Kuching hari ini.

Bertemakan ‘Mengutamakan Pelaburan dalam Kanak-Kanak di Kawasan yang Berubah’, persidangan selama tiga hari itu mengumpul seramai 250 peserta termasuk 100 delegasi antarabangsa dari 14 negara di seluruh Asia Timur dan Pasifik.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Pengarah Wilayah UNICEF Asia Timur dan Pasifik Dr Myo-Zin Nyunt, Wakil Negara UNICEF Malaysia Robert Gass.