KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan diminta mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah kekosongan guru yang sangat kritikal di Sarawak.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, jumlah kekosongan guru di Sarawak adalah seramai 2,229 orang, setakat 30 September 2024 dengan seramai 1,906 orang kekosongan guru sekolah rendah dan 323 orang kekosongan guru sekolah menengah.
Beliau berkata, bagi kawasan Parlimen Igan pula terdapat 73 orang kekosongan guru sekolah rendah dan enam orang sahaja kekosongan guru sekolah menengah.
“Ini sejumlah yang amat besar dan amat mengganggu prestasi akademik para pelajar khususnya di sekolah-sekolah pedalaman Sarawak,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Parlimen, di sini, hari ini.
Ahmad Johnie berkata, ini juga menjadi persoalan dan ‘kehairanan’ rakyat Sarawak tentang ‘keseriusan’ dan ketelusan Kementerian Pendidikan dalam menangani isu ini.
Di samping itu, beliau juga mahu Kementerian Pendidikan mendedahkan perancangan dan tindakan akan diambil untuk mengatasi masalah kekosongan jawatan guru besar dan pengetua di Sarawak serta minta percepatkan proses pemilihan dan perlantikan mereka.
Ahmad Johnie juga membangkitkan isu kadar elaun pengetua dan guru besar sekolah khususnya di Sarawak yang tidak setimpal atau setara tanggungjawab tambahan yang diamanahkan.
“Elaun guru besar cuma RM200 dan elaun pengetua hanya RM300 sahaja. Malah, lebih kecil daripada elaun yang diterima oleh warden asrama,” tambahnya.
Oleh itu, beliau memohon Kementerian Pendidikan agar elaun pengetua dan guru besar di Sarawak dikaji semula untuk dinaik pada kadar sesuai dan munasabah.
