Sarawak terap konsep ‘Loveable City’ bangunkan bandar

KUCHING: Konsep ‘Loveable City’ akan digunakan oleh Kerajaan Sarawak bagi memperbaiki persekitaran dan bergerak ke arah masa depan yang lebih lestari.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak sedang berusaha untuk menjadi ‘Loveable City’, di mana penduduk merasa lebih terhubung, lebih bahagia dan tahan lasak, yang akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi.

Konsep ‘Loveable City’ ini katanya menumpukan kepada penduduk yang tinggal di dalamnya dan berfokus kepada masyarakat.

“Sarawak bukan hanya menjadi bandar yang boleh didiami tetapi juga yang boleh dicintai.
“Matlamat kami untuk memastikan kesinambungan amalan pemuliharaan alam sekitar seperti usaha penghijauan dan penguatkuasaan kerangka regulatori yang lebih baik untuk meningkatkan usaha pemuliharaan alam sekitar kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah semasa majlis perasmian Forum Bandar Sarawak 1.0 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) hari ini.

From bertemakan ‘Keterangkuman Sosial Menuju Urbanisasi Lestari’ itu anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) selama tiga hari dari 20 hingga 22 Oktober.
Ia bertujuan untuk berkongsi idea tentang cara menjadikan bandar-bandar di Sarawak lebih inklusif dan sosial yang kohesif.

Penganjuran forum itu menjadikan Sarawak negeri pertama di Malaysia yang menganjurkannya di peringkat negeri, susulan kejayaan menganjurkan Forum Bandar Malaysia keima tahun lalu.
Antara aktiviti lain semasa forum itu nanti termasuk Lawatan Teknikal ke Pusat Penangkapan Karbon Chitose (C4) Sarawak pada 22 Oktober di Jalan Kampung Goebilt, Kampung Goebilt.

DBKU turut mengalu-alukan semua penduduk bandar untuk menyertai siri pertama Forum Bandar Sarawak yang dibuka kepada umum secara percuma.
Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono, Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng.