KUCHING: Sarawak melancarkan Sistem Pangkalan Data Usahawan (ENBASE) sebagai platform untuk memperkasakan sektor keusahawanan di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ENBASE akan berfungsi sebagai pusat sehenti yang menjana analisis dan laporan untuk membantu Kerajaan Sarawak dalam perancangan dan membuat keputusan berdasarkan keperluan sebenar ekosistem keusahawanan tempatan.
“ENBASE juga akan memastikan program-program khusus seperti bantuan kewangan, pembangunan kapasiti dan promosi produk dapat disalurkan dengan efektif kepada kumpulan sasaran, termasuk yang berada di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Usahawan Sarawak (SEDCC) di Kuching hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) mengajak usahawan Bumiputera untuk menerap amalan terbaik dan teknologi moden, termasuk prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka.
Ujarnya, usahawan perlu memberi fokus kepada peningkatan produktiviti di semua sektor, terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Walaupun Sarawak mempunyai sumber yang melimpah, meningkatkan kapasiti melalui peningkatan kemahiran tenaga kerja dan memodenkan operasi adalah penting,” katanya.
Selain itu, beliau juga menzahir terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) atas kelulusan sebanyak RM1,995,000 untuk Fasa 1 Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) di Sarawak yang melibatkan 13 lokasi.
Ujarnya, dua daripada program itu telah siap dan 11 masih dalam proses yang diselaraskan oleh MINTRED dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG).
“Bagi Fasa 2, Kementerian Kewangan (MOF), melalui KUSKOP, telah meluluskan peruntukan sekali sebanyak RM10 juta untuk meneruskan Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) di Sabah dan Sarawak pada tahun 2024, manakala MINTRED dan MPHLG masih dalam proses mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk projek tersebut,” katanya.
Tambah beliau, di bawah MINTRED, beberapa hab usahawan telah dilancarkan dengan usaha berterusan untuk memastikan pertumbuhan dan sokongan yang mampan kepada usahawan di Sarawak dan Sabah ke tahun hadapan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcom Musen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat.
