SINGAPURA: Sarawak yang memiliki rekod dalam sistem penyahkarbon dijangka memain peranan utama dalam perkongsian tenaga diperbaharui dan pembekal tenaga elektrik rendah karbon di Asia Tenggara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, belajar daripada peranan sebagai pengeluar, pengeksport dan penggunaan tenaga, Sarawak komited memperluaskan peranannya mewujud perkongsian dan pelaburan merintasi sempadan.
Ini kerana kejayaan peralihan tenaga boleh dijadikan model kepada bidang lain, katanya.
Setakat tahun 2024, Sarawak berjaya mencapai lebih 60 peratus sasaran tenaga diperbaharui dengan 62 peratus daripada tenaga campuran itu adalah hasil darpada tenaga diperbaharui untuk meletakkan Sarawak di hadapan, katanya dalam ucaptama pada persidangan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2024 di sini.
Persidangan itu bertemakan ‘Kesalinghubungan dan Kelestarian Tenaga Dunia’.
Beliau menegaskan, Sarawak komited memperkenalkan potensi penjanaan tenaga biomas sebagai sebahagian daripada peralihan tenaganya.
Semasa melawat Stesen Tenaga Drax di United Kingdom baru-baru ini, Premier Sarawak berkata, beliau menyaksikan sendiri cara mereka mentransfomasi loji arang batu menjadi model tenaga bersih dengan beralih kepada biomas.
Tertarik dengan inovasi itu, katanya, Sarawak kini merancang penggunaan rumput jenis Napier sebagai sumber biotenaga.
Dengan keupayaan menuai tiga kali dalam setahun, katanya, rumput terbabit boleh dijadikan pelet kaya dengan tenaga.
Buat masa ini, pelet rumput Napier dari loji Bintulu telah dieksport ke United Kingdom yang membuktikan potensi pasarannya untuk tenaga global.
Kejayaan itu membuatkan Sarawak untuk meneroka peluang serupa, meletakkan biomas sebagai pemain utama dalam kelestarian tenaga pada masa depan dan mengukuhkan komitmen Sarawak kepada penyelesaian tenaga diperbaharui.
Premier Sarawak menegaskan, Sarawak komited menyokong peralihan kepada tenaga diperbaharui di Asia Tenggara memandangkan Sarawak berpotensi sebagai ‘Bateri ASEAN’ dengan berkongsikan tenaga diperbaharuinya kepada jiran Asia Tenggara melalui kesalinghubungan Grid Tenaga ASEAN dan Borneo.
Apabila permintaan tenaga bersih meningkat di rantau ini, katanya, usaha itu perlu untuk meningkatkan pertukaran tenaga rentas sempadan, mengukuhkan keselamatan wilayah dan mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih.
Memandang ke hadapan Pelan Tindakan Bagi Kerjasama Tenaga ASEAN bagi tempoh 2026-2030, beliau berkata, Sarawak berhasrat mengukuhkan lagi kerjasama wilayah dan lesalinghubungan lebih erat merintasi sistem tenaga.
Sarawak bukan setakat fokus menyedia tenaga bersih untuk pembangunannya tetapi juga menjangka potensi dagangan besar dengan mengeksport tenaga.
Perkongsian Sarawak dengan Indonesia, Sabah, Brunei dan Singapura akan mengukuhkan dagangan tenaga rentas sempadan melalui projek seperti Kesalinghubungan Borneo-Indonesia-Malaysia-Filipina.
Di samping membekal tenaga ke Indonesia, katanya, Sarawak berhasrat mengeksport tenaga ke Sabah menjelang 2025 dan Brunei antara 2027 dan 2030.
Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abg Hipni, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.
